Manga & Anime

Manga & Anime

Populariti Manga di Jepun semakin meningkat bukan sahaja di dalam negara Jepun bahkan di kalangan mereka yang di luar Jepun. Hari ini, terdapat industri domestik Manga semakin pesat, dan begitu juga keadaan industri ini di peringkat antarabangsa.

Di Jepun, baik lelaki atau wanita dan semua peringkat umur membaca Manga. Sebagai contoh, ia adalah perkara biasa jika kita terlihat lelaki bisnes yang berpakaian suit lengkap membaca buku komik Manga di dalam komuter.

Genre manga juga pelbagai, dari sejarah hinggalah ke sains fiksyen, dari cinta remaja hinggalah ke tema yang lebih mendalam seperti tentang kehidupan. Biasanya sasaran genre satu-satu Mangga ini dipisahkan kepada empat kategori iaitu lelaki, perempuan, remaja dan matang. Mangga boleh didapati dengan mudah di kedai buku dan kedai serbaneka di seluruh Jepun.

Satu siri Manga boleh menjadi cukup popular sehigga difilemkan dalam bentuk Anime(animasi gaya Jepun). Contoh-contoh Anime terkenal dunia termasuklah "Dragonball", "Sailor Moon", "Pokemon" dan "One Piece". Antara syarikat penerbitan Anime yang popular adalah Studio Ghibli. Studio Ghibli menghasilkan karya-karya yang memenangi anugerah peringkat antarabangsa seperti karya "My Neighbor Totoro" dan "Spirited Away".

Aktiviti yang berkaitan dengan Manga dan Anime

Populariti Manga dan Anime di Jepun telah menjadi tarikan pelancong dan beberapa tempat menarik yang berkaitan dengan Manga dan Anime ini juga boleh dilawati pelancong. Misalnya, di Tokyo, beberapa acara komik terbesar di dunia diadakan setiap tahun.

Kafe Manga (Manga Kissa)

Kafe Manga adalah tempat di mana pelanggan boleh membaca Manga seperti di perpustakaan untuk masa yang ditetapkan, pada bayaran yang sepadan. Para tetamu bebas untuk meminjam dan mengembalikan buku seberapa banyak yang mereka kehendaki dalam had masa yang tertentu.

Kafe Manga boleh didapati di hampir semua pusat bandar utama, biasanya terletak berdekatan dengan stesen kereta api. Bandar besar seperti Tokyo dan Osaka mempunyai sejumlah besar Kafe Manga. Kafe Manga di Jepun dua kali ganda lebih popular berbanding Kafe Internet. Caj biasanya sekitar 300 yen untuk setiap 30 minit. Mereka juga mempunyai pakej 3 jam(sekitar 1000 yen) dan beberapa pakej yang lain.

Kafe Maid

Kafe Maid pada asalnya diwujudkan untuk memenuhi fantasi peminat Manga dan anime. Konsep ini berasal dari Akihabara pada awalnya. Sejak itu, beberapa Kafe Maid lagi telah dibuka di kawasan itu, menjadikan Akihabara sebagai tempat pilihan untuk dikunjungi demi merasakan pengalaman di Kafe Maid. Kejayaan Kafe Maid ini telah memberikan inspirasi kepada tempat lain di luar Jepun juga seperti Taiwan, Korea Selatan, China, Kanada dan Amerika Syarikat.

Ciri-ciri utama Kafe Maid adalah pelayan yang berpakaian seperti pembantu rumah(maid) di Perancis. Makanan dan pencuci mulut yang dihidangkan di kafe biasanya dihiasi dengan comel. Pelayan yang berperanan sebagai pembantu bukan sahaja menghidangkan makanan bahkan akan berbual mesra atau bermain permainan kad dengan pelanggan. Ini untuk membuatkan pelanggan merasa seperti berada di rumah. Mengambil gambar biasanya dilarang, tetapi sesetengah kafe membenarkan pelanggan mengambil gambar mereka dengan "pembantu(maid)" tetapi dikenakan bayaran tambahan.

Acara

Beberapa acara besar Manga dan Anime diadakan sepanjang tahun. Khususnya, "Anime Japan" (dahulunya dikenali sebagai Tokyo Anime Fair), yang diadakan setiap tahun di pusat konvensyen Big Sight Odaiba, merupakan salah satu acara berkaitan animasi terbesar di dunia. Satu lagi acara yang popular adalah Comiket, sebuah pameran buku komik besar yang menarik dan dikunjungi beratus-ratus ribu orang. Acara ini diadakan secara dua kali setahun di Big Sight di Tokyo.

Membeli-belah

Barang-barang berkaitan dengan Manga dan Anime boleh didapat di kedai-kedai hobi seperti Denden Town of Osaka dan Akihabara Tokyo. Berikut ialah senarai beberapa lokasi membeli-belah barang yang berkaitan dengan Manga dan Anime dapat dilakukan:

Akihabara, Tokyo

Akihabara adalah pusat permainan, manga dan anime di Jepun. Terdapat pelbagai kedai-kedai elektronik, Kafe Maid dan kedai-kedai anime. Akihabara adalah syurga untuk mana-mana otaku. Kedai di sini biasanya dibuka dari jam 10:00 hingga 20:00.

Nakano Broadway, Tokyo

Nakano Broadway adalah pusat membeli-belah yang mengkhususkan barangan anime. Terdapat pelbagai kedai Manga dan Anime yang popular di sini termasuk Kedai Mandarake. Kedai biasanya dibuka dari jam 12:00 hingga 20:00.

Pokemon Centre

Pokeman Centre boleh ditemui di bandar-bandar utama, termasuk Sapporo, Sendai, Tokyo, Yokohama, Nagoya, Osaka, Hiroshima dan Fukuoka, Pokemon Centers adalah kedai di mana anda boleh membeli semua item Pokemon seperti kad, alat tulis, mainanjuga beberapa item eksklusif.

DiverCity Tokyo Plaza, Tokyo

Kompleks membeli-belah, makan dan hiburan ini dibuka pada tahun 2012 di Odaiba dan mempunyai tarikan-tarikan yang berkaitan dengan siri anime Gundam. Ada patung Gundam yang besar di hadapan bangunan dan dikenali sebagai Gundam Base Tokyo, sebuah kedai yang didedikasikan untuk model Gundam.

Taman tema dan muzium

Manga dan Anime juga telah memberi inspirasi kepada penubuhan beberapa taman tema dan muzium. Beberapa tarikan popular adalah seperti berikut:

One Piece Tower, Tokyo

Terletak di dalam bangunan Tokyo Tower, taman hiburan dalaman ini bertemakan siri One Piece, sebuah manga yang popular. Ada pelbagai pertunjukan, permainan dan tarikan lain yang menampilkan watak-watak siri mangga One Piece ini.

Muzium Ghibli, Tokyo

Terletak berdekatan dengan Stesen Mitake, Muzium Ghibli adalah rumah kepada watak-watak kegemaran dari filem Ghibli Studios seperti My Neighbor Totoro, Princess Mononoke dan Spirited Away. Muzium ini mempunyai pameran animasi khas dan filem pendek eksklusif. Tempahan awal perlu dilakukan untuk melawat muzium.

Muzium Fujiko F. Fujiyo, Kawasaki

Muzium Fujiko F. Fujio atau lebih dikenali sebagai Muzium Doraemon, mempamerkan karya artis manga Fujiko F. Fujio. Fujiko F. Fujio inilah pencipta siri Doraemon yang kita maklum sebagai karakter yang sangat berpengaruh dan mempunya siri Mangga yang panjang. Muzium ini terletak di Kawasaki bersebelahan dengan Tokyo dan memerlukan tempahan awal sebelum anda melawat ke sana.

Muzium Manga Ishinomori, Ishinomaki

Muzium ini didedikasikan untuk pencipta manga Ishinomori Shotaro, seorang artis yang mneghasilkan karya seperti Cyborg 009 dan Kamen Rider. DI sini juga anda boleh dapatkan koleksi komik, patung dan karya seni dari pelbagai siri hasil karya artis ini. Muzium ini terletak di Ishinomaki berhampiran Sendai. Ia telah rosak akibat tsunami 2011 tetapi telah dibaiki dan dibuka semula.

Muzium Manga Antarabangsa Kyoto, Kyoto

Muzium Manga Antarabangsa Kyoto terletak di pusat berhampiran Stesen Kereta Api Bawah Tanah Karasuma-Oike. Pelbagai koleksi manga yang boleh didapat di sini. Muzium ini memberi tumpuan kepada pembangunan manga di peringkat antarabangsa.

Muzium Manga Kitakyushu, Kitakyushu

Muzium Kitakyushu Manga memperkenalkan sejarah manga dan fokus kepada artis yang mempunyai kaitan dengan Kota Kitakyushu seperti Matsumoto Leiji, pencipta Space Battleship Yamato dan Galaxy Express 999. Muzium ini terletak di Aru-Aru City.

Posted on